Sekolah Kebangsaan Nalapak terletak di Daerah Ranau, Sabah, Malaysia. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan lebuh raya utama Kota Kinabalu - Sandakan.
Jarak sekolah ini dari Pekan Ranau ialah 22 km dan jaraknya dari Kota Kinabalu ialah lebih kurang 140 km. SK Nalapak termasuk dalam Zon Timur, Ranau di bawah pembahagian zon-zon yang ditetapkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Ranau. Zon Timur mengandungi 11 buah sekolah.
Jumlah murid di SK Nalapak adalah menghampiri 200 orang dan tenaga pengajar seramai 16 orang termasuk guru besarnya. KTBM seramai 2 orang (kerani), pekerja am 3 orang dan pengawal keselamatan 3 orang.
Sesi persekolahan di sekolah ini ialah pada sebelah pagi sahaja. 7.10 pagi sehingga 1.30 petang.
Sekolah ini letaknya di dalam Mukim Nalapak yang terdiri daripada Kg. Nalapak, Kg. Kebuh Baru, Kg. Luanti Baru, Kg. Batu Sembilan, Kg. Sedul dan Kg. Muruk. Ladang Desa Tea Sdn. Bhd. juga terletak di dalam kawasan Mukim Nalapak. Hampir kesemua murid di SK Nalapak adalah datang dari kampung-kampung tersebut.
Sekolah ini mempunyai kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik 24 jam, bekalan air graviti, klinik desa Kg. Nalapak, kemudahan talian telefon / telefon bimbit, stesen bas, 3 buah kedai runcit, kemudahan pengangkutan ke Pekan Ranau (bas mini - tambang RM3.00 sehala ['stesen menunggu bas' ke Kg. Nalapak di depan Kedai Tan Eng Tai, Pekan Ranau], bermula 8.00 pagi - 5.00 petang).
Guru-guru sekolah ini ada yang tinggal di rumah kuarters guru di dalam kawasan sekolah dan selebihnya berulang-alik dari kampung masing-masing ke sekolah setiap hari persekolahan.
Sekolah ini mempunyai kebun buah-buahan sendiri dan tapak perkhemahan. Berhampiran kawasan sekolah terdapat sungai kecil yang dipanggil Sungai Merelih. Di tepi sungai inilah letaknya tapak perkhemahan ilik sekolah ini. Sungai Merelih adalah di bawah jagaan AJK Tagal, Kg. Nalapak, Ranau dan tiada sesiapa pun dibenarkan menangkap hidupan air yang terdapat di dalam sungai tersebut.